mStar Online : Cadangan pasang CCTV di semua sekolah

mStar Online : Cadangan pasang CCTV di semua sekolah.

KUALA LUMPUR: Adakah perlu semua sekolah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) ataupun ia cuma dipasang di kawasan sekolah yang mempunyai indeks jenayah yang tinggi sahaja?

Bagaimana dengan kos pemasangan dan kualitinya?. Ini juga perlu diambil kira. Persoalannya sekarang apakah langkah keselamatan yang diambil oleh pihak sekolah selama ini belum mencukupi untuk digantikan dengan CCTV.

Dalam temubual dengan beberapa organisasi membabitkan guru dan ibu bapa hari ini mendapati mereka bukan tidak percaya dengan pengawasan yang disediakan, tetapi yakin melalui rakaman CCTV, banyak perbuatan jenayah dan salah laku di samping keskes membabitkan penculikan dapat dikesan dengan cepat dan tepat.

Presiden Kesatuan Perguruan dalam Perkhidmatan Kebangsaan (NUTP) Anwar Ibrahim berkata, kesatuan itu sudah menyuarakan cadangan menggunakan CCTV di sekolah sejak tiga tahun lalu memandangkan bilangan pelajar sudah tidak mampu dipantau pengawal keselamatan pada satu-satu masa.

“Kita tidak nafikan ada sekolah yang menetapkan guru yang bertugas mengikut giliran untuk mengawal keselamatan pelajar semasa mereka datang dan balik dari sekolah tetapi lebih baik jika syarikat-syarikat yang membekalkan CCTV memberikan potongan harga kepada pihak sekolah,” katanya.

Anwar berkata, NUTP yakin ada syarikat pengeluar dan pembekal CCTV yang boleh sekurang-kurangnya menjual peralatan itu dengan harga murah kalaupun tidak dapat menyumbangkannya secara percuma.

“Anggaplah ini sebahagian daripada khidmat sosial, apatah lagi anak-anak mereka adalah antara pelajar yang belajar di sekolah-sekolah di seluruh negara,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berkata pemasangan CCTV di sekolah memang wajar berikutan kejadian jenayah membabitkan pelajar semakin kerap dilaporkan.

Katanya penguatkuasaan penggunaan CCTV di sekolah perlu dibuat dengan teliti supaya fungsinya boleh dimaksimumkan.

“Kalau pasang, yang pertamanya biarlah CCTV itu berkualiti di samping dipasang di tempat yang strategik dengan menyediakan pemantauan berterusan, diikuti jika perlu laporan rekod CCTV dibentangkan pada setiap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Selain itu, sebuah jawatankuasa keselamatan perlu ditubuhkan bagi memantau keselamatan di sekolah,” katanya.

Katanya untuk kos memasang sesebuah CCTV memang tinggi dan pihak sekolah tidak sepatutnya membebankan ibu bapa dalam mencari dana untuk membeli CCTV.

“Jika ada PIBG yang mempunyai dana mencukupi apa salahnya jika mereka menggunakan peruntukan yang ada untuk memasang sendiri CCTV seterusnya boleh membantu polis selain dapat mengawal masalah disiplin pelajar,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia (GMGBM) Ruslan Madon berkata jika keadaan sekolah berada dalam kawasan indeks jenayah yang tinggi, pemantauan yang rapi perlu dilakukan dan pemasangan CCTV adalah salah satu cara yang berkesan.

“Kita perlu melihat kos kerana tidak semua sekolah mampu pasang CCTV tetapi bagi sekolah yang indeks jenayahnya tinggi, pemasangan CCTV adalah perlu agar kadar jenayah menurun selain dapat mewujudkan persekitaran yang selamat.

“Kami pun dalam mesyuarat ada usulkan hal ini (CCTV) dan jika berjaya, pihak pentadbiran sekolah yang akan memantau sepanjang dua sesi persekolahan berlangsung dan hanya akan diserahkan kepada pengawal keselamatan untuk dipantau pada sebelah malamnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Fatimah Md Deni berkata pemasangan CCTV di sekolah tidak perlu dibuat secara meluas tetapi cukup hanya membabitkan beberapa sekolah yang dirasakan berisiko agar masyarakat tidak membuat tanggapan bahawa sekolah bukan kawasan yang selamat.

Katanya jika permohonan peruntukan khas diluluskan hanya beberapa sekolah yang dipilih sahaja akan dipasang dengan alat berkenaan.

Bagi sekolah yang mampu pula, mereka boleh memasangnya jika mempunyai dana dan pembelian mestilah dimaklumkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri seterusnya kepada kementerian sendiri, katanya.

“Kementerian kena tahu pemasangan CCTV oleh sekolah dan kita di kementerian juga tidak menetapkan kualiti sesebuah CCTV yang akan dipasang. Yang penting jika mereka rasa mereka mampu dan alat itu perlu dipasang di tempat-tempat yang strategik, mereka boleh lakukan.

“Sekolah juga tidak perlu meminta pandangan polis mengenai tempat yang dirasakan perlu untuk dipasang CCTV dan kita percaya guruguru mampu mengenal pasti lokasi yang terbaik untuk mengesan sebarang perlakuan jenayah,” tambahnya. BERNAMA

1 Comment (+add yours?)

  1. Ramly
    Feb 21, 2013 @ 02:13:03

    Pemasangan cctv memang perlu di sekolah ,terutama kawasan parking kereta,kawasan murid naik turun kereta,kawasan belakang sekolah,kawasan hadapan bilik air,dll.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: